Monday 11 November 2013

NGO minta MPKj bersikap adil?

Mohd. Ridzuan Abdullah (depan, tiga dari kiri) bersama wakil-wakil NGO dan peniaga Melayu di Kajang mengadakan bantahan terhadap tindakan MPKj di kawasan gerai yang didakwa menyalahi peraturan di Kajang, Selangor kelmarin. 

KAJANG - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersikap adil terhadap peniaga di kawasan pentadbirannya dan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) yang didakwanya dilihat hanya diambil terhadap peniaga Melayu tidak boleh dibiar berterusan.

Menurutnya, operasi pihak berkuasa tempatan itu banyak menyasarkan gerai peniaga Melayu kebelakangan ini, namun peniaga kaum lain dan warga asing dilihat bebas untuk meraih untung tanpa gangguan.

"Hari ini kami meninjau gerai buah-buahan di Jalan Wan Siew, Taman Sepakat Indah yang dipercayai ada antaranya beroperasi tanpa permit yang sah dan melakukan sambungan haram termasuk memasang kanopi, membina tandas dan meletakkan peti ais.

"Sekiranya MPKj tegas merobohkan struktur tambahan terhadap kios peniaga Melayu yang jarak kurang lima kilometer dari sini, mengapa gerai peniaga kaum lain di sini dibiarkan.

"Sedangkan secara terang-terangan mereka melakukan kesalahan yang serupa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 seperti dinyatakan MPKj," katanya kepada pemberita semalam.

Antara wakil NGO lain yang hadir adalah Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Selangor (PPPNS) Cawangan Kajang, Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM).

Pada akhir bulan lalu, MPKj merobohkan struktur tambahan membabitkan 13 kios peniaga Melayu di Taman Mesra, malah beberapa tindakan sama turut diambil membabitkan peniaga di Taman Sepakat Indah pada 23 Oktober dan Sungai Jelok, sebelum Ramadan lalu.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat unsur-unsur tidak sihat berlaku.

"Malah, kami juga akan membuat tangkapan awam membabitkan peniaga warga asing sekiranya pihak berkaitan tidak bertindak mengatasi masalah itu dengan segera," katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai wakil NGO tersebut mengadakan bantahan secara aman di hadapan gerai buah-buahan itu sambil membawa beberapa sepanduk yang mempersoalkan tindakan MPKj.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment