Sunday 9 February 2014

Jangan terperangkap politik alih isu pembangkang?


Tindakan biadab Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menghina pemimpin negara melalui penerbitan klip video Tahun Baharu Cina baru-baru ini turut 'menghangatkan' arena politik negara yang ketika ini sudah 'dipanaskan' dengan wayang politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Perbuatan Teresa yang menganggap penerbitan video itu sekadar satira politik menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin DAP itu tidak berasa bersalah dengan perbuatan biadabnya.

Justeru tidak hairanlah jika setakat ini 243 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu. Pada masa yang sama, Teresa juga dikecam melalui laman-laman sosial sehingga mendorong sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi membantah perbuatan beliau.

Bagaimanapun persoalannya, sejauhmanakah semua tindakan itu akan memberi tekanan politik kepada Teresa, DAP dan sekutunya seperti PKR dan Pas? Setakat ini pemimpin kedua-dua parti itu tidak berkata apa-apa. Mungkin kerana pemimpin negara yang dihina oleh Teresa itu ialah pemimpin-pemimpin UMNO maka mereka menganggap ia tidak salah.



Namun begitu, dalam keghairahan pelbagai pihak membuat bantahan, kita juga harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan politik alih isu yang sememangnya sudah menjadi 'senjata politik' pakatan pembangkang sejak sekian lama.

Ketika ini, kecaman yang dilemparkan kepada Teresa, sudah dijadikan 'alat' oleh pembangkang untuk menyerang balas UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Mereka mengaitkan semua tindakan dan bantahan yang dilakukan oleh NGO-NGO didalangi oleh UMNO - tidak pasal-pasal UMNO dikaitkan - sedangkan apa yang berlaku kerana rakyat sudah bosan melihat kebiadaban pemimpin-pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi, rentetan politik sebelum ini menunjukkan biarpun beratus-ratus laporan polis dibuat ke atas pemimpin pembangkang namun ia sepi begitu sahaja.

Keadaan inilah memungkinkan sesetengah pihak khususnya NGO terpaksa melakukan tindakan dengan tujuan menarik perhatian pihak berkuasa bahawa mereka mahu langkah tegas diambil sebagai pengajaran.


Kebiadaban Teresa tidak boleh didiamkan. Laporan polis yang dibuat harus disusuli dengan keberanian Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan.

Sudah terbukti kini tindakan Teresa telah menimbulkan kemarahan rakyat, oleh itu mereka mahu melihat pemimpin DAP itu 'diajar' untuk menghormati undang-undang.

Jika dikaji, adalah jelas tidak ada keinsafan pada diri Teresa untuk meminta maaf sebaliknya dia kembali menyerang pemimpin-pemimpin UMNO, dalam kata mudah seolah-olah dia sedikit pun tidak takut dengan laporan-laporan polis dibuat.

Apapun, kita mengharapkan semua pihak rasional dalam berhadapan dengan isu Teresa. Ini memandangkan jika mereka bertindak keterlaluan, ia boleh menyebabkan mereka termasuk dalam perangkap pembangkang yang sememangnya sedang cemas dengan isu wayang politik PKR di Kajang.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment