Tuesday 10 September 2013

Bekas calon CEC belum terima notis pemilihan semula daripada DAP - John Fernandez?


Bekas Ahli Parlimen DAP Seremban, John Fernandez yang pernah menjadi calon dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Disember tahun lalu, mendakwa tidak menerima sebarang notis pemberitahuan berhubung pemilihan CEC baharu.

Malah, menurutnya, beliau juga tidak menerima sebarang penjelasan berhubung status kelayakannya untuk bertanding semula dalam CEC walaupun sebelum ini pernah menjadi calon dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-15 di Pulau Pinang.

Katanya, beliau masih tidak jelas dengan kedudukannya ketika ini sama ada layak kembali bertanding dalam pemilihan semula yang dijadual pada 29 September ini atau sebaliknya.

"Saya belum menerima apa-apa surat mahupun sebarang notis daripada DAP, sehingga itu saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung perkara ini," katanya di sini hari ini.


Sebelum ini, John Fernandez mengumumkan keluar daripada parti itu dan bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sehinggakan menyebabkannya dipecat serta-merta daripada DAP.

Beliau yang telah bersama DAP lebih 20 tahun mengambil langkah drastik keluar daripada parti itu selepas mendapati DAP bukan parti berbilang kaum 'kerana giat' meminggirkan kaum India.

Status John Fernandez menjadi persoalan selepas ROS mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC yang dijadualkan pada 29 September ini sekali gus menyebabkan sebarang keputusan yang dibuat oleh CEC yang dibentuk pada Disember tahun lalu tidak sah.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass menggesa DAP membuat penjelasan berhubung status John Fernandez yang disifatkan beliau layak bertanding.

Menurutnya, perkara itu memandangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah membuat keputusan pemilihan CEC sebelum ini tidak sah.


"Sehingga kini, John Fernandez tidak diberi notis pemberitahuan beliau layak bertanding sekali lagi dalam CEC. Lagipun, namanya ada dalam senarai pemilihan. Jadi, mengapa DAP masih berdiam diri berhubung status beliau?" katanya.

Tambahnya, mengikut undang-undang, apa jua dokumen yang dikeluarkan melalui Jawatankuasa DAP dari Disember lalu sehingga hari ini tidak sah.

Dokumen itu, katanya, termasuk surat pemberitahuan menarik diri daripada parti seperti dikeluarkan bekas Ahli Parlimen DAP Seremban itu sekali gus menunjukkan beliau layak bertanding semula.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment