Thursday 26 September 2013

Injunksi halang kongres khas DAP?


Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat ini keputusan permohonan injunksi oleh Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass bagi menghalang DAP daripada mengadakan Kongres Khas Parti itu, Ahad ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Rosnaini Saub hari ini selepas selesai mendengar hujahan peguam K. Harikrishnan mewakili David dan peguam Karpal Singh serta Gobind Singh Deo bagi pihak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan parti tersebut selaku pihak defendan.

David memfailkan permohonan itu pada 10 September lalu bagi menuntut perintah injunksi menghalang Guan Eng dan DAP daripada mengadakan kongres khas pada 29 September ini atau pada bila-bila tarikh kemudian untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Selain injunksi, David selaku pihak plaintif memohon beberapa deklarasi supaya mahkamah mengisytiharkan pelantikan 20 ahli CEC hanya boleh dibuat melalui pemilihan dalam Kongres Kebangsaan Parti menurut Fasal VIII Perkara 5(d) Perlembagaan Parti.


Plaintif juga menuntut perisytiharan, suatu notis bertulis oleh Setiausaha Agung DAP mesti diberikan sekurang-kurangnya 10 minggu sebelum Kongres Kebangsaan Parti diadakan menurut Fasal VIII Perkara 6 dan notis bertulis tiga minggu empat hari yang diberikan oleh defendan pertama adalah terbatal dan tidak sah.

Seterusnya David menuntut Notis Kongres Khas Parti bertarikh 4 September lalu yang dikeluarkan oleh Guan Eng yang dinamakan sebagai defendan pertama bagi melantik ahli CEC adalah terbatal dan tidak sah.

Karpal bagaimanapun memohon supaya permohonan injunksi pihak plaintif ditolak memandangkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan tuntutan mahupun permohonan tersebut.

Ini kerana menurut Karpal, Seksyen 18 (c) Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menyatakan, keputusan yang dibuat oleh parti politik adalah muktamad dan konklusif selain tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

Di samping itu, katanya, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan permohonan berhubung kesahihan mengenai keputusan tersebut.


Beliau berkata, undang-undang tersebut digubal untuk mengecualikan bidang kuasa mahkamah daripada mendengar merit atas sebarang pertikaian antara ahli-ahli dalam mana-mana pertubuhan politik.

Berdasarkan peruntukan tersebut, Karpal meminta permohonan defendan untuk membatalkan permohonan David bagi mendapatkan perintah injunksi, dibenarkan oleh mahkamah dengan kos.

Harikrishnan pula menggesa permohonan pihak defendan untuk membatalkan permohonan perintah injunksi itu ditolak kerana terdapat isu-isu yang jelas untuk dibicarakan dalam perbicaraan kelak.

Ini kerana, notis yang dikeluarkan oleh pihak defendan dibuat secara salah.

Tambahan pula, menurut Harikrishnan, sekiranya mahkamah membenarkan permohonan injunksi itu, ia langsung tidak akan memprejudiskan pihak defendan.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, Karpal yang juga Pengerusi DAP membayangkan bahawa pemilihan semua jawatankuasa itu akan diadakan awal November ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam kenyataannya menyatakan mereka yang akan mengundi pada pemilihan semula itu terdiri daripada perwakilan mengikut senarai 2008 kerana delegasi 2012 pada Disember lalu dikatakan tidak sah.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment