Saturday 14 December 2013

Pimpinan DAP ibarat Kim Jong-un?

Jenice Lee (duduk, tengah) bersama sebahagian penyokongnya menunjukkan laporan Jawatankuasa DAP Selangor bahawa nama ADUN Teratai itu telah dihilangkan atau tiada dalam rekod laporan jawatankuasa tersebut sidang akhbar khas di Taman Muda, Ampang, Selangor, semalam.

Segelintir pucuk pimpinan DAP didakwa berperilaku seperti pemerintah Korea Utara, Kim Jong-un yang bertindak memadamkan rekod bapa saudaranya selepas dipecat.

Ini berikutan tindakan luar biasa parti itu yang bertindak sesuka hati dengan 'memadamkan' segala rekod berkaitan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee daripada laporan DAP Selangor.

Jenice mendakwa, nama beliau sebagai Setiausaha Publisiti DAP Selangor telah dipadamkan sejak 2010 termasuk senarai kehadiran mesyuarat jawatankuasa dan ucapan penggulungan yang dibuat pada tahun itu.

"Laporan Jawatankuasa DAP Selangor serta minit mesyuarat 2010 telah mula diedarkan sejak Selasa lalu memandangkan konvensyen negeri akan diadakan pada Ahad ini. Saya terkejut apabila mendapati nama saya sebagai Setiausaha Publisiti telah sengaja dipadamkan dari laporan itu.

"Adakah kerana saya telah dipecat daripada parti? Mengapa DAP seolah-olah seperti mengikut amalan Korea Utara yang bertindak memadamkan keseluruhan rekod pemimpin yang dipecat? Adakah DAP sedang mencontohi dan mengikut jejak langkah Jong-un? Saya mahukan penjelasan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Jong-un telah mengarahkan segala rekod berkaitan bapa saudaranya, Jang Song-thaek yang dipecat dari parti dipadamkan daripada sejarah Korea Utara.

Song-thaek turut dihukum mati atas pelbagai tuduhan seperti cubaan rampasan kuasa serta menggulingkan Presiden, rasuah, pengkhianat dan kaki perempuan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Jenice turut melahirkan rasa hairan dengan tindak tanduk DAP sejak akhir-akhir ini, antaranya pengumuman tarikh konvensyen dan pemilihan negeri pada saat-saat akhir.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah DAP, ini kali pertama saya dengar, tarikh serta tempat pemilihan hanya diumumkan kurang daripada lima hari. Calon-calon yang bakal bertanding juga diberikan masa yang sungguh terhad.

"Apakah ini 'taktik' untuk menutup sesuatu? Kewujudan saya juga telah dipadamkan kerana 'arahan' seseorang dan bukan disengajakan. Sekiranya mereka anggap saya telah dipecat, adakah rekod lampau harus dipadamkan juga?

"Rekod bekas DAP seperti Tan Sri Lee Lam Thye atau bekas Presiden Singapura, CV Devan Nair tidak pula dipadamkan?. Mengapa kini DAP sudah berubah haluan dan corak pemerintahan tanpa mengikut Perlembagaan," ujarnya.

Menurut Jenice, beliau tidak faham mengapa DAP masih tergesa-gesa untuk membuat pemilihan negeri memandangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) belum lagi mengesahkan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan dalam kongres khas pada 29 September lalu.

"DAP perlu mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh ROS agar kejadian dahulu tidak berulang. Kita tidak boleh asyik bercakap tentang pemilihan semula atau pembatalan pendaftaran parti sebagai agenda dalam parti. Banyak lagi perkara yang perlu diberi fokus utama," tegasnya.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment