Tuesday, 17 December 2013
'Tarik tali' isu pemilihan CEC DAP?
Pendaftar Pertubuhan (ROS) diminta bertegas terhadap DAP apabila pemimpin parti itu dilihat seolah-olah terus bermain 'tarik tali' dalam isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, sikap berlembut yang ditunjukkan dalam isu tersebut menjadi punca mengapa pemimpin DAP terus mempermainkan ROS.
Katanya, keadaan itu menyebabkan masalah tersebut tiada kesudahannya sedangkan ROS adalah agensi yang berkuasa dalam membuat keputusan sama ada DAP bersalah atau tidak.
"Jika bersalah DAP perlu dikenakan tindakan, tiada alasan untuk ROS takut bertindak terhadap DAP sekiranya parti itu tidak mengikut undang-undang.
"Jangan takut untuk bertindak kerana selagi kes ini berlanjutan, kredibiliti ROS akan terus dipersoal dan dicemuh orang ramai, secara tidak langsung menjejaskan nama baik kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap DAP berhubung pemilihan semula CEC yang diadakan dalam kongres khas parti itu pada 29 September lalu.
Bagaimanapun, laporan berhubung pemilihan khas CEC yang dihantar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan tidak mengandungi maklumat yang mencukupi serta menyukarkan ROS untuk menyiasat sebarang dakwaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass juga mahu ROS bertindak segera terhadap DAP yang jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Katanya, semua parti politik perlu mengikut Perlembagaan masing-masing dan tiada yang kebal daripada undang-undang termasuk DAP.
"DAP tidak boleh sesuka hati melanggar peraturan yang ada seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada ROS.
"Sebab itu, ROS perlu bertindak segera bagi menjaga kepentingan ahli DAP daripada terus ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan politik sesetengah pemimpin parti itu," ujarnya.
Tora Malaya..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment