Sunday, 19 January 2014

DAP 'dibadai' ahli sendiri?

Ahli-ahli DAP Kedah mengadakan demonstrasi aman di hadapan Ibu Pejabat DAP negeri di Jalan Putra bagi mendesak Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng segera mengadakan pemilihan kepemimpinan peringkat negeri sebagai menghormati demokrasi dan perlembagaan DAP.

Ada orang bertanya kepada penulis. Adakah 'wajah sebenar' Lim GuanEng sudah terserlah?

Penulis bertanyakan balik, apa maksud 'wajah sebenar' Guan Eng yang terkini. Kata mereka, 'Itu! tengok gambar dia tersenyum lebar di sebelah Mercedes'?

Penulis tidak terkata apa. Dan kalau dibaca pun daripada komen-komen yang muncul dari akhbar-akhbar Cina terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekarang, ada 'beraneka warna'.

Cuma yang dapat penulis amati, dalam dua tiga bulan ini tak habis-habis kemelut membadai DAP.

Belum pun isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang telah masuk tiga bulan tak nampak jalan penyelesaiannya, datang lagi isu bak 'tsunami' melanda parti itu.

Kalau direnung-renung atau 'ditilik' konflik yang melanda DAP ini, ia nampaknya tidak setara dengan slogan Ketelusan, Akauntabiliti dan Kecekapan (CAT) yang dicanangkan Guan Eng. CAT seolah-olah 'memakan diri' Ketua Menteri itu sendiri yang jawatan Setiausaha Agung DAP pun belum lagi disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Terbaharu, beberapa hari lalu di Johor, meskipun Dr. Boo Cheng Hau meraih kedudukan lebih baik berbanding Liew Chin Tong dalam pemilihan Konvensyen DAP Johor - dengan Boo di tangga ke-10 (219 undi) berbanding Chin Tong ke-14 (185 undi) - dia (Boo) masih tetap disisihkan. Chin Tong pula dipilih Pengerusi DAP Johor yang baharu. Adakah ini prinsip demokrasi?

Atau adakah sekadar cuba 'membalas budi' Chin Tong yang dikatakan sepatutnya layak diangkat menggantikan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung parti itu, setelah meraih tempat pertama pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.

Guan Eng dalam pemilihan itu jatuh ke tangga kelima. Di beberapa negeri yang lain pula menyaksikan seakan-akan berleluasa gejala cantas mencantas untuk mendominasi kepimpinan parti negeri. Sehinggakan pemimpin DAP negeri-negeri terbabit terpaksa tampil membuat kenyataan terbuka termasuk menghentam sesama rakan sendiri.

Melambatkan

Di Kedah, pengerusi DAP negeri, Lee Guan Aik mendapati CEC DAP seolah-olah sengaja melambat-lambatkan mesyuarat agung dan pemilihan kepimpinan baharu Kedah. Sedangkan, sepatutnya ia diadakan pada Ogos atau September tahun lalu.


Ahli parti maklum DAP Kedah tidak sehaluan dengan DAP Pusat apabila akar umbi negeri itu menyokong Guan Aik yang dipecat oleh DAP Pusat. Memburukkan lagi keadaan apabila Guan Eng bertindak melantik 'anak emas'nya, Zairil Khir Johari mengantikan Guan Aik.

Di Melaka, lain pula ceritanya. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, negeri itu tiada Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia gara-gara ketua pembangkangnya, Goh Leong San daripada DAP meletak jawatan serta-merta apabila disindir oleh ADUN DAP yang lain kerana ucapannya yang memuji dan mengagumi kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Kemelut serupa dihadapi DAP Perak, yang mana pasangan sepupu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming diketahui tidak pernah sehaluan dengan Dinasti Lim, malahan menganggap Perak seperti 'milik' mereka berdua.

Di Selangor, senario dialami Datuk Teng Chang Kim seakan-akan sama di Perak. Naib Pengerusi DAP Selangor itu dilihat terlampau vokal sehingga dikatakan sukar dikawal dan agak tidak disenangi para penyokong Dinasti Lim. Malahan, cadangan tiga wakil rakyat DAP dari negeri itu baru-baru ini untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988, turut 'mengeruhkan' hubungan parti itu dengan sekutunya, Pas dan PKR. Perbuatan tiga wakil DAP itu jelas tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.

Dan nun jauh di sana, kemelut perpecahan dalam DAP Sabah pula semakin kronik. Pada 8 Januari lalu, tiba giliran Naib Pengerusi DAP negeri itu, Peter Liew Fui Ken bertindak keluar parti termasuk melepaskan semua jawatan yang disandangnya. Ini termasuk tidak lagi menjadi ahli seumur hidup parti berkenaan.

Keputusan Fui Ken, 68, meletak jawatan itu hanya kira-kira seminggu selepas Timbalan Pengerusi DAP negeri, Fred Fung dan Ketua Wanita Bahagian Kota Kinabalu, Candy Wong mengumumkan keluar parti. Ini terjadi setelah mereka tidak tahan lagi untuk terus berurusan dengan pimpinan sekarang - yang tidak menghargai mereka selaku pemimpin kanan dalam DAP negeri.

Dakwa Fui Ken, berlaku perkara salah yang sangat serius dalam DAP Sabah, sekali gus menyaksikan ramai ahli yang setia turut mengumumkan pengunduran. Walhal, DAP negeri mencatat keputusan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei tahun lalu apabila menawan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen.

Detik perpecahan dalam DAP Sabah sudah dilihat awal lagi apabila ADUN Api Api, Hiew King Cheu memutuskan keluar parti tahun lalu dan kemudian menjadi penyokong bebas Barisan Nasional (BN).

Selain DAP, rakan sekutu parti itu, PKR Sabah turut bergolak. Ini menyaksikan pengunduran beramai-ramai ahli parti itu yang diketuai oleh ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan dan ADUN Kadamaian, Jeremy Majalad.

Nampaknya bukan sahaja pemilihan CEC tetapi kemelut krisis dalaman lebih menular membadai DAP. Apakah tertanggung penasihat parti, Lim Kit Siang dengan kemelut ini?

Bertahankah Guan Eng?

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment