Thursday, 16 January 2014

DAP parti tidak 'bertuan'?


DAP boleh dianggap sebagai sebuah parti tidak 'bertuan' berikutan semua jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) masih belum disahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, oleh yang demikian, Lim Guan Eng 'tidak layak' dipanggil Setiausaha Agung parti termasuk pemegang jawatan tertinggi lain sehingga DAP menyelesaikan segala kemelut pemilihan CEC dengan ROS.

"Bagi saya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu ialah 'bekas' Setiausaha Agung DAP kerana pemilihan CEC belum disahkan ROS. Inilah...mereka (pimpinan DAP) boleh buat hal (masalah), tetapi orang lain tidak boleh.

"Mereka ini tidak boleh menerima kebenaran, yang benar memang pahit untuk ditelan," katanya dalam sidang akhbar di Bandar Sungai Long dekat sini hari ini.


Beliau membuat sindiran tersebut susulan 'kedegilan' DAP yang enggan mengikut arahan ROS untuk menghantar maklumat lengkap berhubung pemilihan semula parti, antaranya senarai cawangan yang mengambil bahagian dan perwakilan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah menegaskan, pihaknya menggantung keputusan CEC DAP kerana siasatan masih dijalankan pada 6 Disember lepas.

Tuan Tat memberitahu, anggota DAP sepatutnya meluangkan masa untuk membuat sedikit analisis berhubung keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula yang dijalankan September lalu.

Ujar beliau, pertamanya berhubung pemilihan semula bertarikh 29 September lalu dengan 20 anggota CEC yang dipilih merupakan anggota yang sama dalam pemilihan sebelumnya.

"Pada 15 Disember 2012, seramai 2,576 orang perwakilan yang berhak hadir tetapi cuma dihadiri seramai 1,723 orang. Kemana hilangnya 753 orang perwakilan lagi.


"DAP kemudiannya menggunakan 2,576 orang perwakilan yang sama untuk pemilihan semula pada 29 September lalu dan hanya 1,725 orang perwakilan yang hadir," jelasnya.

Katanya, perkara sama berlaku dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) DAP Johor dan Selangor dengan kehadiran perwakilan cuma 57 peratus.

"Apa yang berlaku kepada yang tidak hadir? Apakah mereka ini tidak diundang kerana bukan kroni.

"Daripada analisis saya berkaitan pola pemilihan, ada satu agenda tersembunyi iaitu untuk 'menghilangkan' semua anggota yang bukan kroni," dakwanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membidas Guan Eng berhubung isu pembelian kereta mewah jenis Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment