Monday, 16 September 2013

Penipuan pembangkang didedah?

Ong Kian Ming

Tembelang penipuan pembangkang kononnya wujud pengundi hantu Bangladesh dan berlaku gangguan bekalan elektrik semasa pengiraan undi pada pilihan raya umum lalu terbongkar apabila perkara itu diakui sendiri tidak benar oleh pemimpin DAP dan Pas.

Pemikir Strategi DAP, Ong Kian Ming dalam temu bual bersama portal Free Malaysia Today dilaporkan berkata, beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai kewujudan pengundi hantu warga Bangladesh atau pun insiden gangguan bekalan elektrik sebagaimana didakwa.

Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang bersetuju dengan penafian Pemantau Pilihan Raya (Pemantau) iaitu tidak wujud pengundi hantu warga Bangladesh atau insiden gangguan bekalan elektrik dan mengakui Parlimen Serdang juga bebas daripada dakwaan sedemikian.

Bagaimanapun beliau memberitahu, DAP belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

"Setakat yang saya tahu, tidak ada pengundi asing (warga Bangladesh) atau gangguan bekalan elektrik. Jadi saya bersetuju dengan pandangan mereka (Pemantau)," katanya sebagaimana dipetik dari Free Malaysia Today, hari ini.

Sementara itu, seorang pemimpin Pas yang enggan namanya disiarkan memberitahu portal yang sama bahawa berlaku penipuan pada pilihan raya umum lalu, tetapi bukan dalam bentuk pengundi hantu warga asing atau pun kejadian gangguan elektrik di pusat penjumlahan undi.

"Terlalu sukar untuk menipu menggunakan pengundi warga asing atau gangguan bekalan elektrik. Mereka menipu menggunakan kaedah lain seperti daftar pemilih yang tidak bersih," katanya sambil enggan mengulas lanjut kepada Free Malaysia Today.

Sebelum ini, Pemantau menjelaskan tiada sebarang bukti berlaku penyelewengan pilihan raya seperti insiden gangguan bekalan elektrik atau kewujudan pengundi hantu warga Bangladesh di 87 kerusi Parlimen yang dipantau badan tersebut sebagaimana didakwa pembangkang.

Kenyataan itu selari dengan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa beberapa keping gambar 'gangguan bekalan elektrik' yang kononnya berlaku semasa pengiraan undi sebenarnya dirakam sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lagi bertujuan melemparkan fitnah.

Malah, pada 27 Mei lalu, seorang lagi wakil rakyat DAP, Lee Chin Chen yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ketari, menafikan berlakunya insiden gangguan bekalan elektrik di pusat penjumlahan undi Dewan Sultan Ahmad Shah, Bentong. Baca di sini.

Beliau dilaporkan sebagai berkata: "Dakwaan berlaku gangguan elektrik ketika proses pengiraan undi (di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah) adalah tidak benar. Saya ada di sana sejak pukul 8.30 malam sampai awal pagi, mana ada gangguan bekalan elektrik pun?

"Ramai orang ada di sana...Wartawan ada, jurugambar ada, wakil calon bertanding pun ada. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pegawai dan anggota polis pun ada di sana. Kalau betul berlaku (gangguan elektrik), mesti semua yang ada di sana boleh sahkan," kata Chin Chen.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment