Friday 27 September 2013

Usaha halang DAP adakan Kongres Khas parti gagal?


Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan keputusan sesebuah parti politik atau mana-mana perkara berkaitan hal ehwalnya.

Hakim Datuk Rosnaini Saub menyatakan demikian ketika membatalkan saman serta permohonan Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass untuk mendapatkan perintah injunksi menghalang DAP daripada mengadakan Kongres Khas parti itu, Ahad ini.

David memfailkan saman itu pada 10 September lalu bagi menuntut antaranya perintah injunksi menghalang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan DAP daripada mengadakan Kongres Khas pada 29 September ini atau pada bila-bila tarikh kemudian untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

David selaku pihak plaintif antaranya memohon beberapa deklarasi supaya mahkamah mengisytiharkan pelantikan 20 ahli CEC hanya boleh dibuat melalui pemilihan dalam Kongres Kebangsaan Parti menurut Fasal VIII Perkara 5(d) Perlembagaan Parti. David diwakili peguam, K. Harikrishnan.

Bagaimanapun Hakim Rosnaini berpendapat, mahkamah tiada bidang kuasa memutuskan perkara tersebut seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu menyatakan, keputusan yang dibuat oleh parti politik adalah muktamad dan konklusif selain tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.


Beliau menyatakan, dalam menggubal seksyen berkenaan, niat Parlimen adalah jelas iaitu keputusan yang dibuat oleh sesebuah parti politik adalah muktamad lagi konklusif dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, DAP apabila mendapat arahan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memilih semula ahli-ahli CEC, telah merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Parti (Perintah Tetap).

Justeru itu, Hakim Rosnaini menyifatkan, dakwaan David yang menyatakan DAP mungkin dibatalkan jika mengadakan kongres khas untuk memilih semula ahli-ahli CEC bukanlah suatu perkara untuk mahkamah menentukannya ataupun membuat sebarang spekulasi.

"Sebaliknya, ROS yang perlu memutuskannya dan bukan mahkamah yang membuat spekulasi tentang apa yang akan ditentukan oleh ROS," ujar beliau yang membatalkan saman itu dengan kos RM5,000 untuk dibayar oleh David.

Hakim Rosnaini turut menyifatkan, permohonan pihak plaintif untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang DAP mengadakan Kongres Khas Parti itu, atas dakwaan telah melanggar perlembagaan parti, sebagai tidak berasas.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP membayangkan bahawa pemilihan semua jawatankuasa itu akan diadakan awal November ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam kenyataannya menyatakan mereka yang akan mengundi pada pemilihan semula itu terdiri daripada perwakilan mengikut senarai 2008 kerana delegasi 2012 pada Disember lalu dikatakan tidak sah.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment