Sunday, 22 September 2013
UPDATE ! TARIKH KEMATIAN CHIN PENG BUKAN 16 SEPTEMBER ?!!!
Kematian bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang sebelum ini dilaporkan pada 16 September menimbulkan keraguan berikutan desas-desus mengatakan tarikh kematian itu sebenarnya telah dirancang.
Dipercayai pemimpin PKM itu meninggal dunia di Hospital Bangkok di Thailand pada petang Ahad (15 September).
Bagaimana pun menurut sumber, kematiannya telah dilaporkan pada awal pagi Isnin (16 September) di mana ketika rakyat negara ini menyambut Hari Malaysia pada hari tersebut.
"Dipercayai tarikh (kematian) pada hari Isnin itu dipilih supaya Chin Peng diingati oleh penyokongnya yang secara kebetulan jatuh pada hari penting buat seluruh rakyat Malaysia menyambut hari pembentukan negara Malaysia.
"Pihak kami mendapat maklumat ini merupakan agenda terancang pihak-pihak tertentu kononnya mahu mengaitkan kematian Chin Peng sebagai semangat nasionalisme," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang hidup dalam buangan di Thailand dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bangkok pada awal pagi 16 September lalu akibat sakit tua.
Sepanjang mengepalai komunis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman telah dilakukan Chin Peng serta pengikutnya terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam.
Menurut sumber itu lagi, pihaknya bagaimanapun akan cuba bekerjasama dengan hospital di Bangkok bagi mendapatkan kesahihan maklumat yang diterima mengenai tarikh sebenar kematian pemimpin kanan PKM itu.
Sumber turut memberitahu bahawa Chin Peng sempat menulis wasiat yang dipamerkan di Kuil Wat That Thong yang mengandungi hasratnya untuk diingati sebagai orang yang berani dan mahu generasi muda mengikut jejak langkahnya dalam 'memperjuangkan idealisme".
"Apa yang diwasiatkan oleh Chin Peng itu sangat berbahaya dan boleh mengundang ancaman kepada negara lebih-lebih lagi generasi muda mudah terpengaruh kononnya apa yang diperjuangkan itu adalah benar sedangkan perjuangannya amat kejam dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan," kata sumber itu.
Kuil tersebut akan menjadi lokasi persemadian terakhir bagi bekas setiausaha agung PKM itu sebelum upacara pembakaran mayatnya yang dijadualkan pada petang Isnin ini.-UMO
Tora Malaya..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment