Wednesday 13 November 2013

Ahli DAP negeri perlu berani 'tegur' Guan Eng?


Pengerusi DAP di setiap negeri diminta lebih berani untuk 'menegur' Setiausaha Agung, Lim Guan Eng demi hak mereka dan kelangsungan parti berkenaan.

Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, mereka perlu bertegas dan memaksa Guan Eng mengemukakan laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kepada Pertubuhan Pendaftar (ROS) secepat mungkin.

Menurutnya, perkara berkenaan penting dan harus dilakukan segera kerana ia melibatkan peruntukan undang-undang seterusnya akan menentukan nasib dan hala tuju parti itu.

"Ahli CEC yang baharu dipilih semula perlu dinilai oleh ROS untuk diiktiraf sebagai sebuah badan yang sah.

"Guan Eng perlu tahu, ini merupakan kehendak ahli peringkat akar umbi yang risau dengan nasib parti selepas berlaku pelbagai masalah.

"Di bawah Akta Pertubuhan 1966, ROS boleh mengarahkan sesebuah parti politik untuk mengadakan pemilihan semula jika mendapati parti melakukan pemilihan secara haram," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asoghan memberitahu, tindakan berdiam diri Guan Eng dalam hal berkenaan telah menimbulkan persoalan sama ada Ketua Menteri itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"Sudah hampir dua bulan pemilihan semula CEC berlalu dan tiada perkembangan baharu. Kenapa Guan Eng takut hendak mengemukakan laporan kepada ROS?" soalnya.

Dalam pada itu, Asoghan turut mempertikaikan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Kok Wai yang menghantar notis pemecatannya kali kedua daripada parti berkenaan.

"Tindakan Kok Wai menunjukkan beliau tidak menghormati mahkamah kerana kes ini masih berlangsung," tegasnya.

"Bagaimana mereka boleh membuat keputusan untuk menghukum saya sekarang dan mendahului keputusan mahkamah?" soalnya lagi.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment