Saturday 23 November 2013

Jenice umum akan bertanding?

Jenice Lee bersama ahli DAP Pandan yang dipecat mengadakan sidang akhbar mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan DAP Selangor di Taman Muda Ampang, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha mengumumkan akan bertanding sebagai ahli jawatankuasa dalam pemilihan parti peringkat negeri Selangor yang akan diadakan 15 Disember depan.

Menurutnya, beliau boleh bertanding dalam pemilihan itu berikutan masih lagi ahli parti berkenaan ekoran kes pemecatannya dalam proses rayuan.

"Kes pemecatan saya daripada parti DAP masih dalam rayuan, maknanya saya masih lagi ahli DAP yang sah, perkhidmatan saya tidak boleh dihentikan serta-merta. Saya juga telah menghantar surat dua minggu lalu menyatakan hasrat untuk bertanding supaya tidak dihalang.

"Jika mereka masih lagi melarang, kami akan bertindak membuat aduan kepada pihak berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jenice berkata, beliau bersama bekas ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dorothy Cheong akan bertanding dalam pemilihan DAP Selangor terbabit.

Jelasnya, pemecatan keahliannya dan Dorothy tidak sah kerana Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai mempunyai percanggahan kepentingan dan mengamalkan standard yang tidak sama dengan ahli-ahli parti lain.

Menurut beliau, laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock menyatakan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sebelum ini telah meluluskan peruntukan kerajaan negeri kepada sebuah syarikat berkaitan yang dimiliki oleh bapa saudara ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong iaitu Lee Wye Wing bagi menganjurkan program mesra rakyat di kawasan tersebut.

"Malah, Kee Hiong juga mengakui bahawa beliau pada masa itu memegang jawatan bergaji di syarikat bapa saudaranya dan terlibat secara langsung dalam menyelaras dan melaksanakan program berkenaan.

"Perbuatan mereka sama ada boleh dilabelkan sebagai kronisme, nepotisme dan percanggahan kepentingan. Jadi, Kok Wai perlu tampil jelaskan apakah parti tersebut membenarkan perbuatan sedemikian berlaku. Mengapa tiada tindakan disiplin diambil ke atas kedua-dua ADUN itu sedangkan kes saya dipandang serius oleh mereka?" katanya.

Dalam pada itu, Jenice turut mendesak Kok Wai menerima surat saman daripada peguamnya berkaitan dakwaan memfitnah sehingga menyebabkan peluang beliau untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terjejas.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengiklankan surat saman tentang dakwaan terhadap Kok Wai dan perbelanjaannya akan dimasukkan ke dalam kos peguam sekiranya beliau masih enggan menerimanya.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment