Tuesday, 12 November 2013

Kenapa Guan Eng kebal?


GEORGETOWN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disoal berhubung kekebalan atau imuniti yang dimiliki Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terus berkeras dengan pendirian parti itu berhubung isu kalimah ALLAH.

Penyelaras Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan didesak selepas ini sekiranya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar dengan perintah mahkamah.

“Sebelum ini ada pemimpin yang menyebut mahu membakar kitab Bible dan beliau diminta untuk memberi keterangan di Bukit Aman, tetapi kenapa Guan Eng yang sering berdegil untuk menggunakan kalimah suci ALLAH tidak dipanggil?

“Apa imuniti yang dia (Guan Eng) ada? Kenapa dia begitu kebal dalam isu ini sedangkan isu ini sangat sensitif. Dia berani mempersendakan kalimah suci ALLAH dan dengan bangga mengatakan pendirian partinya sedangkan mahkamah dah buat keputusan,” katanya kepada media selepas demonstrasi di Masjid Simpang Enam, baru-baru ini.

Pihaknya juga memberi amaran kepada Guan Eng dan DAP supaya tidak terus berdegil dengan pendirian mereka itu sekiranya tidak mahu negeri ini dalam keadaan kritikal.


Terdahulu, kira-kira 50 badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang mengadakan demonstrasi secara aman di Masjid Simpang Enam dan berarak ke Komtar untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenyataan Guan Eng sebelum ini.

Demonstrasi melibatkan Perkasa, Persatuan Anak Jati Malaysia (Pajim), Persatuan Muka Buku dan Gerakan Pelajar Semenanjung (GPMS) itu, sedikit kecoh apabila dihalang anggota polis ketika menyerbu ke tingkat 3 Komtar.

Walaupun dihalang polis, mereka terus bergegas ke tingkat 3, Komtar dan menyerbu masuk ke pekarangan pejabat serta menghala ke arah lif bangunan itu.Bagaimanapun dengan usaha polis, mereka akur dengan arahan dan beredar.

Mohamed Hafiz berkata, pihaknya menyokong usaha polis dalam menjalankan tugas namun kecewa apabila Guan Eng langsung tidak diambil tindakan walaupun banyak laporan ke atasnya dibuat.

Sebelum ini, Guan Eng menyatakan pendirian DAP yang bertegas menggunakan kalimah ALLAH yang mana parti itu tetap mempertahankan dan tidak akan berganjak daripada pendirian mereka.

Guan Eng berkata, walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald, DAP tetap dengan pendirian seperti sebelum ini dan pendirian itu jelas.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment