Monday, 25 November 2013

Kenapa rakyat perlu menolak DAP?


1. DAP Parti Nepotisme di Malaysia

DAP sering melancarkan serangan terhadap dakwaan nepotisme yang dikatakan berlaku dalam Barisan Nasional (BN) Namun begitu, nepotisme yang berlaku dalam DAP dan Pakatan Rakyat adalah jauh lebih parah berbanding dengan BN. Sekiranya kita melihat ranking CEC DAP, maka kita akan mengetahui Lim Kit Siang berada dalam kedudukan kedua manakala anaknya kedudukan kelima.

Selain itu, Karpal Singh berada dalam kedudukan ketiga manakala anaknya pada kedudukan keempat. Empat daripada lima kedudukan tertinggi DAP dikuasai oleh politik bapa dan anak.

Berbeza dalam BN, anak-anak kepada mana-mana pemimpin hanya berkuasa dalam parti setelah bapa atau saudara mereka bersara daripada politik. Rakan DAP iaitu PKR juga tidak kurang hebatnya amalan nepotisme mereka apabila seluruh parti itu diketuai oleh keluarga terdiri daripada bapa, isteri dan anak. Parti politik mana dalam sejarah Malaysia yang memiliki sistem nepotisme sebegini teruk?

Sudah enam Perdana Menteri Malaysia bertukar namun Kit Siang yang sudah berada dalam arena politik sejak zaman Perdana Menteri pertama masih tidak lagi sanggup melepaskan kuasa. DAP selalu menyelar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang yang gila kuasa namun sudah satu dekad beliau bersara dalam politik apabila tidak lagi bertanding dalam pilihan raya sejak 2003 selain melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun Kit Siang masih lagi beria-ria bertanding dalam pemilihan DAP selain bertanding dalam pilihan raya umum serta masih memegang jawatan sebagai penasihat DAP.

2. Mengapa Anwar Tidak persoalkan DAP ?

MELALUI keputusan CEC maka kita akan mengetahui hakikatnya Lim Guan Eng tidak mendapat undi tertinggi dalam pemilihan DAP yang terbaharu namun masih tetap menjadi Setiausaha Agung DAP kebangsaan.


Sekiranya kita hendak mengambil teori demokrasi iaitu undi popular yang dipopularkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim maka Guan Eng sudah tidak layak lagi menjadi Setiausaha Agung DAP. Oleh itu apakah pandangan Anwar mengenai isu undi popular dalam sistem demokrasi di Malaysia ? Sekiranya Anwar merasakan undi popular adalah kayu ukur kepada lambang demokrasi maka Anwar secara langsung telah menghina sistem demokrasi DAP dan juga kedudukan Guan Eng dalam parti tersebut. Sekiranya Anwar merasakan undi popular perlu berlandaskan kepada sistem demokrasi tertentu maka Anwar hanya mengiktiraf BN adalah pihak dan kerajaan sah yang menang dalam pilihan raya umum terbaharu.

3. Kebangkitan Melayu Menentang Dinasti Lim

BEKAS Naib Pengerusi DAP kebangsaan, Tunku Abdul Aziz telah lama meninggalkan perjuangan DAP dan beliau mengatakan DAP bukanlah sebuah parti politik multiracial seperti diperjuangkan oleh mereka. Seorang lagi bekas Naib Pengerusi DAP iaitu Zulkifli Mohd Noor juga telah bangkit mengatakan bahawa kaum Melayu hanya bernilai 50 sen dalam parti itu. Kenyataan Zulkifli jelas menunjukkan betapa rendah nilai kaum Melayu yang dilayan dalam DAP.

Kenyataan ini juga dapat dibuktikan apabila tiada seorang Melayu berjaya menembusi pemilihan CEC DAP yang terbaharu selain Christopher Zairil yang dipertikaikan pihak tertentu sebagai setengah Melayu dan setengah Cina.

Naib Pengerusi 1 Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad juga meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, termasuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Syed Araniri mendedahkan sikap parti itu yang double standard terhadap orang Melayu, apabila permohonan lebih 70 ahli Melayu dari pelbagai cawangan di negeri itu tidak diproses. Aspan Alias yang menyertai DAP tahun lalu juga mendakwa Setiausaha Agung DAP, Guan Eng dan bapanya Kit Siang sebagai pemimpin autokratik. Beliau mendakwa DAP hanya mementingkan agenda kedua beranak itu sahaja.

Veteran Melayu DAP, Ahmad Ton yang sudah lama berada dalam perjuangan DAP tidak diangkat dalam kepimpinan DAP dan Christopher Zairil yang baharu sahaja memasuki DAP telah diberi kuasa dalam jangka masa yang begitu singkat. Adakah ia berlaku hanya kerana Christopher Zairil merupakan Setiausaha Politik Guan Eng?

4. Kebangkitan Kaum India Menentang Dinasti Lim

MENURUT Pendaftar Pertubuhan (ROS), majoriti daripada 753 ahli DAP yang melaporkan pemilihan parti kepada ROS adalah kaum India.

Bekas setiausaha publisiti DAP Taman Nesa, A. K. Murugan bertekad memulakan gerakan untuk memastikan lebih ramai anggota parti itu daripada kaum India meninggalkan parti pembangkang berkenaan. Menurut beliau, ramai di kalangan kaum India yang menyertai DAP mula sedar tentang layanan berat sebelah Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau terhadap kaum India. Kedua-dua pemimpin DAP India dari Johor, Murugan A. Kaliappan dan Thulasi Das Visuvalingam dari Taman Nesa, Skudai juga telah dipecat hanya kerana mereka mengamalkan demokrasi yang diperjuangkan oleh DAP iaitu demokrasi demonstrasi. Sikap hipokrit DAP amat jelas apabila mereka yang paling lantang menjerit tentang soal demonstrasi dalam demokrasi dan apabila pihak Kementerian Dalam Negeri menahan penyokong yang menyertai demokrasi maka BN akan dituduh sebagai anti demokrasi. Namun apabila pemimpin mereka sendiri melancarkan demonstrasi, mereka pula dipecat. Sejak PRU13, DAP telah memecat seramai 38 ahli hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan pemimpin tertentu dalam DAP.

5. Rakyat Perlu Bangkit Menentang Dinasti Lim

SEKIRANYA begitu ramai pemimpin tertinggi dan kaum yang berbeza dalam DAP sendiri bangkit menentang parti itu, maka sudah tiba masanya rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan jantina membuka mata dan sedar akan wajah dan topeng DAP sebenar. Sesungguhnya berlakunya penentangan dalaman dengan jelas menunjukkan DAP adalah sebuah parti yang mengamalkan nepotisme , kronisme , rasisme dan anti demokrasi yang ditentang oleh pemimpin dan ahli mereka sendiri.

Rakyat kini perlu mencari jalan untuk keluar daripada cengkaman penjajahan minda dan persepsi oleh DAP. Sudah tiba masanya kita sehati sejiwa bangkit menentang sebuah parti politik yang jelas bermuka-muka dan hanya memperbodohkan rakyat melalui pemimpin dan ahli-ahli mereka.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment