Sejak dahulu memang wujud dalam kalangan warga Malaysia yang membenci bangsa atau agama lain tetapi bilangannya kecil dan mereka tidak berani meluahkan isi hati kepada umum kerana 'takut' kepada pihak berkuasa.
Namun, sejak kebelakangan ini situasi seolah-olah sudah di luar kawalan apabila semakin ramai berani meluah rasa di dalam media sosial menghina dan mengutuk bangsa mahupun agama orang lain tanpa sebab yang jelas.
Paling nyata menjadi mangsa penghinaan dalam media-media sosial kini adalah institusi Melayu dan agama Islam, terbaru melibatkan dua anak muda berbangsa Cina, seorang India serta seorang Melayu yang menghina agama Islam.
Sudah tentu perbuatan dangkal mereka ini tidak mewakili sentimen keseluruhan bangsa ataupun penganut agama mereka tetapi kesannya amat besar dan boleh membawa kepada tindak balas drastik daripada orang Melayu dan Islam khususnya golongan muda berdarah panas.
Persoalan utama di sini, apakah punca yang menyebabkan anak-anak muda ini begitu membenci bangsa Melayu mahupun agama Islam? Mungkin politik kebencian yang dipupuk sesetengah pihak telah melimpah ke dalam sistem sosioekonomi masyarakat setempat, umpama retak menanti belah sahaja.
Walaupun pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam gagal atau tidak mahu menegur anak bangsa atau penganut sendiri yang menghina Melayu dan Islam, sekurang-kurangnya tetap lantang demi maruah masyarakat sendiri. Kenapa pula suara pemimpin Melayu Islam begitu lemah bila agama dan bangsa sendiri dihina?
Pemantauan media sosial gagal kerana hanya menunggu laporan baru mahu menyiasat, polis pula hanya boleh bertindak jika ada yang membuat laporan, proses perundangan juga boleh dilengah-lengahkan, maka apa lagi pilihan yang ada bagi masyarakat Melayu dan Islam negara ini mempertahankan bangsa dan agama mereka?
Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seng bersetuju dengan pandangan masalah tersebut berpunca daripada kebencian dan permusuhan politik yang nyata selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"Tak dapat disangkal permusuhan politik telah menyerap ke bidang-bidang lain (sosioekonomi) di samping perasaan tidak puas hati di kalangan bukan Melayu.
"Rasa tidak puas hati terutama orang Cina kepada kerajaan 'Melayu', mereka lihat ada diskriminasi dan wujud ketidakadilan sosial walaupun selepas gagasan 1Malaysia diperkenalkan, mereka tetap perlekeh sebab masih nampak pengagihan kekayaan tidak adil," katanya.
Menurut beliau, persepsi 'zero sum game' iaitu melihat kelebihan pada kelompok lain sebagai satu kerugian untuk kelompok sendiri turut menyumbang kepada kebencian terhadap orang Melayu dan Islam.
Jelasnya lagi, persepsi itu menyebabkan bukan Melayu khususnya orang Cina melihat agenda ekonomi bumiputera merugikan mereka malahan usaha menambah masa pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular dilihat merugikan bahasa Mandarin dan dikhuatiri membawa kepada penutupan sekolah tersebut.
"Ini berkaitan dengan pemimpin bukan Melayu khususnya pemimpin Cina yang boleh dikatakan tidak pernah mahu jelaskan kepada ahli komuniti mereka perkara seperti agenda ekonomi bumiputera itu demi kebaikan semua. Mereka takut kerjaya politik hancur sebab 'bersekutu' dengan orang Melayu.
"Saya sendiri yang pertahan bahasa Melayu pun dikatakan pengkhianat. Pemimpin mereka hanya buat kenyataan umum atau samar-samar sahaja, termasuk dalam kes penghinaan Melayu dan Islam kerana takut 'membunuh' kerjaya politik sendiri," ujarnya.
Beliau juga berasa sedih melihat ada pemimpin dalam MCA menyelar agenda negara sedangkan DAP pun tidak melenting begitu, semata-mata mahu dilihat berani melawan orang Melayu demi nyawa politik dan sokongan bangsa sendiri.
Beliau khuatir jika pemimpin komuniti bukan Melayu dan bukan Islam terus berdiam diri, kejadian menghina orang Melayu dan Islam di media sosial akan meletup seperti masa peristiwa hitam pada 13 Mei 1969.
"Pemimpin bukan Melayu khususnya yang dalam politik perlu lebih bertanggungjawab, perlu lebih berani tegur perbuatan yang pastinya merugikan bangsa sendiri sahaja. Kalau berlaku rusuhan semua rugi tetapi yang paling parah pastinya bangsa mereka sendiri, bukan orang Melayu.
"Saya yakin mereka pun tahu kesannya jika berlaku rusuhan. Sekarang bukan lagi masa untuk cakap tentang hal kekayaan, untung, duit dan ekonomi sahaja, kena juga cakap tentang isu nasional, jati diri dan sayangkan negara sendiri," tegasnya.
Mungkin menyamar menggunakan nama orang Melayu dan akaun palsu FB?
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz juga memahami kekecewaan orang Melayu dan Islam berikutan kelemahan penguatkuasaan dalam isu menghina bangsa dan agama dalam media sosial.
"Betul kalau kita katakan seolah-olah ada kekecewaan besar dan serius di kalangan masyarakat Melayu dan Islam berkaitan isu ini. Kita perlu beri pandangan baharu dalam keadaan begini, tidak boleh harapkan pendakwaraya sahaja.
"Mungkin jika boleh kita bangunkan perundangan yang berkembang luas di negara luar, Litigasi Kepentingan Awam yang memberi locus standi (hak) untuk individu atau kumpulan menuduh, contohnya terhadap pihak yang mencerca Melayu dan institusi Islam," jelasnya.
Beliau memaklumkan sistem tersebut tidak begitu berkembang di negara ini dengan kes difailkan individu tidak begitu diberi perhatian kerana kawalan pertuduhan di pihak Peguam Negara.
Tambahnya, Pejabat Peguam Negara bagaimanapun boleh melantik orang luar atas kehendak sendiri atau atas permohonan seperti dalam pelantikan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dalam rayuan pendakwa raya untuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebahagian ahli Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) menunjukkan laporan polis serta bukti yang diambil dari laman sosial Facebook berhubung isu penghinaan nama Allah dan Nabi Muhammad di laman sosial itu selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pemilik akaun itu didakwa memaparkan gambar babi panggang dengan tertera nama Allah dan Nabi Muhammad serta logo halal Jakim pada 3 September lepas.
"Untuk kes penghinaan orang Melayu dan Islam juga boleh lantik sesiapa yang layak untuk buat pertuduhan, atau satu cara lagi Litigasi Kepentingan Awam, membenarkan seseorang menjadi peguam menjaga kepentingan satu-satu kelompok contohnya benarkan orang Islam buat pertuduhan sendiri orang yang hina agamanya.
"Dengan itu, kumpulan atau NGO Islam tidak perlu tunggu Pejabat Peguam Negara atau polis lakukan siasatan. Mereka sendiri cari bukti dan bawa ke mahkamah," ujarnya.
Shamrahayu bagaimanapun memaklumkan belum ada kes pendakwaan sedemikian di Malaysia dan saranan perlu dibuat dahulu agar Pejabat Peguam Negara memberi kebenaran orang Melayu atau Islam mendakwa sendiri pihak terbabit.
Beliau melihat jika dapat dilaksanakan, ramai peguam yang berkemampuan dalam NGO Islam mampu melakukan pendakwaan di bawah seliaan Pejabat Peguam Negara.
"Undang-undang kita tiada kekurangan, penguatkuasaan sahaja. Pihak Pejabat Peguam Negara perlu lebih proaktif, sudah terlalu banyak kes penghinaan dan hasutan begini, perlu ada pendakwaan.
"Kita ambil mekanisme holistik. Toleransi, dialog dan pendidikan perlu untuk pencegahan masa hadapan tetapi untuk kes yang sudah berlaku, masalah berlaku sekarang ini, perlu ada pendakwaan. Semuanya perlu bergerak selari untuk mencegah dan menangani," tegasnya.
Tora Malaya..
No comments:
Post a Comment