Friday, 25 October 2013

40 anak muda adakan demonstrasi bantah Tony PuaKA?

MOHD. Zaini Awang (berbaju Melayu sepasang) bersama sebahagian daripada 40 penduduk kawasan Parlimen Jerai yang membuat bantahan terhadap Tony Pua di hadapan Masjid Bedong di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI - Seramai 40 anak muda di kawasan ini hari ini mengadakan demonstrasi di pekarangan Masjid Bedong di sini bagi membantah tindakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO'.

Mereka mengadakan perhimpunan kira-kira pukul 3.30 petang dan melaungkan pelbagai perkataan sambil mengangkat 16 sepanduk sebagai menyatakan kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu.

Laungan termasuk 'Tony Pua kurang ajar, biadab' sekali gus menarik perhatian orang ramai yang lalu di kawasan itu yang kemudiannya sama-sama menyertai perhimpunan tersebut.

Mereka kemudian mendesak Tony meminta maaf terhadap ROS yang majoriti kakitangannya adalah orang Melayu beragama Islam sekali gus menggoreskan hati kaum itu secara keseluruhannya dengan gelaran berkenaan.

Demonstrasi aman selama 20 minit itu diketuai oleh seorang penduduk, Mohd. Zaini Awang, 42, dan dibantu oleh seorang rakannya, Azhari Abdul Rahim, 42.

Mohd. Zaini ketika berucap di perhimpunan itu berkata, sepatutnya Tony lebih bersopan setelah menjadi seorang pemimpin dan tidak menggelar orang lain 'anjing'.

"Malangnya, pemimpin DAP yang lain sekadar melihat sahaja tanpa memberi nasihat kepada orang muda seperti Tony ini. Jangan fikir DAP sudah hebat setelah menang 38 kerusi Parlimen. Hendak hidup di negara ini, hendaklah menghormati orang lain," katanya.

Tony sebelum ini menggelar ROS sebagai 'anjing UMNO' berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula berikutan pelbagai pihak mempertikaikan kewibawaan proses yang pertama pada 15 Disember tahun lalu.

Seorang lagi anak kariah masjid itu, Azhari Abdul Rahim, 42, berkata, banyak lagi kerja lain boleh dibuat oleh Tony tanpa menimbulkan isu-isu hingga membangkitkan kemarahan orang Melayu.

"Orang Melayu juga mempunyai perasaan dan perlu dihormati, kalau tidak boleh menghormati antara satu sama lain, keamanan tidak boleh wujud dengan sempurna," katanya.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment