Ketua Publisiti DAP, Tony Pua telah bertindak di luar batas dan terlalu biadab apabila menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia sebagai 'anjing UMNO'.
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, perkataan 'anjing' itu menyentuh sensiviti masyarakat Melayu dan apa yang diutarakan boleh diambil kira sebagai perkauman.
"Sekalipun tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, jangan gunakan perkataan kasar. Apa yang Tony Pua lakukan boleh membawa masalah kepada hubungan antara masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum.
"Dalam hal ini, Tony Pua perlu menarik balik perkataannya dan segera meminta maaf kerana dia telah menghina banyak institusi dengan kata-kata biadab itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tony Pua menggelar ROS dan Utusan Malaysia sebagai 'anjing UMNO' berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula berikutan pelbagai pihak mempertikaikan kewibawaan proses yang pertama pada 15 Disember lalu.
Lum Yong turut meminta pimpinan tertinggi DAP iaitu Pengerusinya, Karpal Singh dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng untuk membuat pendirian sebenar parti itu dalam isu tersebut.
"Tony Pua sewajarnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin DAP, apa yang dilakukannya nampak seperti kecil tetapi perkara yang nampak kecil itu memberi kesan sehingga mengeruhkan hubungan antara masyarakat," katanya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsa Alla Pitchay berkata, perkataan bersifat 'kurang ajar' yang digunakan oleh Tony Pua menunjukkan wajah sebenar pemimpin DAP tidak profesional dan berkaliber.
"Apa yang dia lakukan adalah amat kurang ajar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang merupakan Ahli Parlimen.
"Sikapnya itu seperti orang yang tidak berpelajaran dan terlalu emosional sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini," katanya yang turut mendesak Tony Pua untuk mengeluarkan kenyataan maaf dengan segera.
Tora Malaya..
No comments:
Post a Comment