Wednesday 30 October 2013

(CEC) DAP 'Seperti anjing menyalak bukit'?


Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP disifatkan seperti 'anjing menyalak bukit' kerana mereka hanya merupakan sebuah 'kumpulan mesyuarat' yang langsung tidak mempunyai kuasa bagi membentuk dan bertindak dalam merangka sebarang polisi parti.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor berkata, ini kerana kesemua ahli CEC parti itu belum diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) biarpun telah dua kali mengadakan pemilihan.

"Bermula dengan pemilihan CEC Disember tahun lalu sehingga ke pemilihan semula bulan lalu, kedudukan mereka belum diiktiraf mengikut undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang masih menjadi ahli DAP berkata, kemunculan pemimpin-pemimpin muda dalam parti itu selepas tsunami politik pada 2008 lalu juga dilihat lebih menjurus kepada kepentingan peribadi berbanding memperjuangkan ideologi parti.


"Pemimpin muda itu tidak merasai kesusahan dan keperitan berjuang sewaktu DAP menjadi pembangkang, malah mereka juga belum diuji dalam keadaan darurat,'' ujarnya.

Beliau turut menyelar tindakan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyindir dengan mengatakan terdapat ahli dan pemimpin parti itu yang memakai lambang roket tetapi hati bersama Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

"Ini merupakan sindiran yang menempelak diri sendiri kerana Guan Eng sebenarnya seorang pemimpin DAP yang bertopengkan sosial demokrat tetapi berjiwa kapitalis," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak mencabar ahli CEC parti tersebut agar memberanikan diri mengadakan kongres khas bagi mengusulkan pemecatan Guan Eng yang secara terang telah mendatangkan malapetaka kepada parti itu.

"Kepemimpinan DAP perlu menuding jari kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyalahkan pihak lain," katanya.

Tora Malaya..

No comments:

Post a Comment