Saturday, 26 October 2013
Lagi ahli DAP hantar aduan berhubung CEC baharu kepada ROS?
Kontroversi yang melanda DAP seperti masih belum kesudahan apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerima satu lagi laporan berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan dalam Kongres Khas parti itu pada 29 September lalu.
Kali ini, Ahli Seumur Hidup DAP cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Sepang, Goh Swee Huat pula menghantar surat aduan kepada ROS supaya menyiasat pemilihan CEC baharu DAP kerana dipercayai tidak mengikut perlembagaan parti.
Swee Huat berkata, aduan tersebut dibuat selepas ramai ahli DAP tidak berpuas hati dengan CEC baharu kerana pemilihan semula hanya boleh diadakan dalam Kongres Kebangsaan parti, bukan Kongres Khas seperti yang dilaksanakan bulan lalu.
"Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu mengikut perlembagaan parti dan bukannya membuat perlembagaan sendiri, dia kena tahu apa maksud Kongres Kebangsaan, Kongres Khas dan juga Kongres Kebangsaan Khas seperti mana yang ditetapkan.
"Pemilihan CEC perlu dibuat melalui Kongres Kebangsaan dan bukannya melalui Kongres Khas seperti yang dilaksanakan pada 29 September lalu, jadi sudah terang-terangan pemilihan yang baharu tidak dilakukan mengikut perlembagaan parti," katanya ketika ditemui pemberita di lobi ibu pejabat ROS di sini hari ini.
Surat aduan Swee Huat itu diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah ROS, Alias Mamat.
Difahamkan mengikut Fasal VIII, Perkara 8 Perlembagaan DAP, Kongres Khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu dan bukan untuk tujuan pemilihan.
Sehubungan itu, Swee Huat menggesa agar ROS bertindak tegas dan menyiasat perkara tersebut kerana ramai ahli DAP dan juga bekas ahli parti itu tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC yang baharu.
"Dalam hal ini, ROS tidak perlu takut, mereka adalah satu-satunya badan yang bertanggungjawab melakukan siasatan terhadap mana-mana pertubuhan di negara ini, siasatan yang telus perlu dilakukan demi untuk mencari kebenaran," katanya.
Katanya, aduan tersebut dibuat kerana tidak mahu melihat DAP dibatalkan pendaftarannya hanya kerana beberapa pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan membuat sebarang keputusan untuk kepentingan sendiri.
Sementara itu, Alias berkata, DAP sehingga kini masih belum menghantar sebarang dokumen berkaitan pemilihan CEC yang baharu kepada ROS.
"Sekarang sudah terdapat beberapa aduan diterima berhubung pemilihan CEC, ROS akan melakukan siasatan terperinci terhadap setiap laporan, namun bagi memastikan keadilan DAP perlu menghantar dokumen berkaitan CEC secepat mungkin.
"Jika siasatan dilakukan tanpa mengambil kira apa-apa penjelasan daripada DAP tentulah tidak adil, sehubungan itu siasatan ROS akan meliputi semua pihak termasuk meneliti setiap dokumen yang akan dilampirkan," katanya.
Tora Malaya..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment