Sunday 13 October 2013

Proses pemilihan CEC diragui?

David Dass (kanan) bersama Setiausaha DAP Taman Bukit Emas, S. Vijaya menunjukkan laporan polis dan gambar ketika dihalang dan dikasari oleh sekumpulan ahli DAP yang juga petugas proses pemilihan CEC dalam sidang akhbar di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass meragui ketelusan proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 29 September lalu apabila dikatakan ada pengubahan status kategori 120 cawangan sebelum pemilihan berkenaan.

Menurut David, melalui sumber, dia dimaklumkan bahawa status 120 cawangan itu ditukarkan daripada kategori B kepada A.

''Ingin saya jelaskan bahawa cawangan yang dikategorikan B hanya boleh menghantar wakil mereka sebagai permerhati sahaja pada pemilihan itu.

"Cawangan yang berada dalam kategori A pula boleh menghantar perwakilan yang dipilih dan layak untuk mengundi pada pemilihan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, 120 cawangan itu mewakili sejumlah 450 perwakilan yang layak mengundi pada pemilihan itu baru-baru ini.

''Saya mempunyai senarai dan akan semak semula serta menyiasat perkara ini dengan lebih teliti," ujarnya.


Mengulas lanjut berhubung kategori cawangan parti berkenaan, David memberitahu, status bagi cawangan kategori A adalah mereka wajib membuat pembayaran yuran tahunan cawangan dalam tempoh masa ditetapkan.

''Sekiranya gagal membuat pembayaran ditetapkan cawangan tersebut akan jatuh kepada kategori B.

''Malah, cawangan kategori A dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) cawangan dan mereka dibenarkan untuk memilih perwakilan yang akan dihantar kepada kongres," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dass turut mendakwa dia telah dikasari dan dipukul oleh sekumpulan ahli DAP ketika ditemui pemberita selepas proses pemilihan yang dilangsungkan di One World Hotel, 29 September lalu.

''Saya telah ditumbuk dari belakang oleh sekumpulan lelaki berbaju merah yang merupakan petugas parti CEC ketika memberikan kenyataan kepada pemberita di lobi hotel berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, David yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tora Malaya...

No comments:

Post a Comment